Soalan lazim
Apakah peranan utama Bahagian Psikologi dan Kaunseling (BPsK) di Kementerian Pendidikan Malaysia?
Peranan utama Bahagian Psikologi dan Kaunseling (BPsK) adalah untuk menyediakan perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada guru dan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia. BPsK bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan psikologi, pembangunan sahsiah, serta kecemerlangan individu dalam konteks pendidikan. Ini termasuk memberikan bimbingan, kaunseling individu, kaunseling kelompok dan advokasi serta intervensi psikologi bagi menangani masalah kesihatan mental dan emosi.
Apakah jenis perkhidmatan yang disediakan oleh BPsK kepada guru dan warga KPM?
BPsK menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti kaunseling individu dan kelompok, intervensi krisis, ujian psikologi, bimbingan kerjaya, program pengurusan stres, dan sokongan emosi kepada guru dan warga Kementerian Pendidikan. Perkhidmatan ini membantu individu mengatasi masalah peribadi, sosial, akademik, dan profesional.
Bagaimana seseorang guru boleh mengakses perkhidmatan BPsK?
Guru boleh mengakses perkhidmatan BPsK dengan menghubungi kaunselor pendidikan yang ditempatkan di Bahagian Psikologi dan Kaunseling di pejabat pendidikan daerah atau negeri. Mereka juga boleh mengakses perkhidmatan ini melalui platform dalam talian atau talian bantuan kaunseling yang disediakan oleh KPM. Permohonan boleh dibuat secara sukarela atau melalui rujukan daripada pihak sekolah.
Berdasarkan konteks surat arahan (KPM.500-9/2/1 JLD.2(99) bertarikh 5 Februari 2021), adakah semua kaunselor pendidikan, pensyarah kaunseling dan guru bimbingan dan kaunseling dikehendaki berdaftar sebagai kaunselor dengan Lembaga Kaunselor Malaysia?
Tidak. Berdasarkan konteks surat ini hanya kaunselor pendidikan, pensyarah kaunseling dan guru bimbingan dan kaunseling yang mempunyai kelayakan profesional sahaja dikehendaki berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.
Apakah maksud mempunyai kelayakan profesional?
Kelayakan profesional bermaksud peringkat pengajian minimum yang diiktiraf sebagai memenuhi piawaian ialah di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kaunseling atau Sarjana Muda dalam bidang bukan kaunseling yang diikuti dengan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang kaunseling.
Adakah dengan memiliki ijazah atau sarjana dalam bidang komunikasi, psikologi atau bidang selain kaunseling dianggap memiliki kelayakan profesional dalam konteks ini?
Tidak. Hanya ijazah atau sarjana dalam bidang kaunseling dianggap mempunyai kelayakan profesional dalam konteks ini.
Berapakah yuran(Fi) profesional pendaftaran kaunselor dan perakuan amalan dwitahunan?
Fi permohonan Pendaftaran Kaunselor Berdaftar (RM200) bagi seumur hidup, fi permohonan Perakuan Amalan kali pertama (RM100), fi bagi pembaharuan Perakuan Amalan Dwitahunan (RM200) dan fi tambahan permohonan lewat memperbaharui Perakuan Amalan Dwitahunan (RM100). Fi ini adalah ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kaunselor (Pendaftaran dan Perakuan Amalan) 1999, Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).
Siapakah yang layak membuat tuntutan pembayaran yuran profesional pendaftaran dan yuran perakuan amalan dwi tahunan?
Semua Kaunselor Organisasi (Kaunselor Pendidikan), Pensyarah Kaunseling, serta Guru Bimbingan Dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah membuat bayaran yuran pendaftaran kaunselor dan yuran perakuan amalan dwitahunan.
Bilakah tarikh pembayaran yuran profesional pendaftaran dan yuran perakuan amalan dwitahunan yang telah dibuat boleh dituntut?
Yuran profesional pendaftaran dan yuran perakuan amalan dwitahunan yang boleh dituntut adalah pembayaran yang dibuat bermula pada 13 Januari 2021.
Adakah saya boleh membuat tuntutan bagi bayaran denda oleh Lembaga Kaunselor Malaysia?
Sebarang denda yang dikenakan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia tidak boleh dibuat tuntutan.
Bilakah masa saya boleh membuat tuntutan bayaran yuran prefesional pendaftaran dan yuran perakuan amalan dwi tahunan?
Tuntutan hendaklah dikemukakan kepada PTJ masing-masing pada bulan yang sama pembayaran yuran profesional pendaftaran dan yuran amalan dwitahunan dilakukan. Semua proses tuntutan hendaklah disertakan dokumen-dokuman berikut:
- Resit asal pembayaran yuran Lembaga Kaunselor Malaysia;
- Salinan sijil pendaftaran kaunselor berdaftar;
- Salinan sijil perakuan amalan; dan
- Salinan surat Arahan Pendaftaran Kaunselor Kepada Semua Kaunselor Organisasi, Pensyarah Kaunseling, serta Guru Bimbingan Dan Kaunseling KPM Yang Mempunyai Kelayakan Professional (KPM.500-9/2/1 JLD.2(99) bertarikh 5 Februari 2021
Bagaimanakah saya ingin mendaftar sebagai kaunselor berdaftar dan mengetahui maklumat lebih lanjut?
Untuk mendapatkan maklumat lanjut sila layari pautan berikut https://www.lembagakaunselor.gov.my/